Wednesday, March 24, 2010

Henti Tanam Betik, Timun & Melon di Perak

Semua rakan pengusaha tanaman pertanian di Perak, ikut arahan & bersabar.
Ladang Betik Perak Diserang Penyakit
IPOH, 22 Mac 2010 (Bernama) -- Pengusaha tanamam betik di Perak akan diminta memusnahkan tanaman mereka berikutan serangan penyakit mati rosot yang kini menular di hampir kesemua ladang betik seluruh Perak.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pelindungan Tanaman dan Kuarantin Tumbuhan Jabatan Pertanian Perak Norsiyenti Othman berkata notis arahan itu akan dikeluarkan minggu ini kepada semua pengusaha ladang betik yang dijangkiti penyakit itu.

Beliau berkata semua pengusaha yang menerima notis berkenaan perlu memusnahkan tanaman dalam tempoh lima minggu.

"Tindakan segera perlu diambil bagi membendung jangkitan penyakit berkenaan memandangkan Perak adalah pengeluar utama betik negara dan perebakannya boleh mengancam industri tanaman betik negara," katanya pada sidang akhbar di sini Isnin.

Beliau memberi amaran bahawa pengusaha yang enggan memberi kerjasama memusnahkan tumbuhan mereka boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 mengikut Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.

Penyakit mati rosot adalah penyakit yang diwartakan sebagai berbahaya mengikut akta berkenaan.

Norsiyenti berkata sehingga kini hanya daerah Hulu Perak didapati bebas daripada serangan penyakit berkenaan dan sebanyak 188.77 hektar atau 82.6 peratus daripada keluasan keseluruhan 228.55 hektar ladang betik di Perak telah diserang penyakit itu.

Mengenai tindakan yang perlu diambil oleh pengusaha yang menerima notis, beliau berkata dua cara berkesan ialah menimbuskan tumbuhan yang dimusnahkan ke dalam lubang atau membakarnya.

Beliau berkata pengusaha juga dinasihat supaya tidak menanam tumbuhan daripada keluarga labu seperti tembikai, timun dan labu air sebagai tanaman gantian kerana ia boleh menjadi perumah kepada bakteria yang menjadi punca serangan mati rosot.

Penyakit mati rosot mulai dikesan di Batu Pahat, Johor pada tahun 2003 sebelum merebak ke Batang Padang, Perak pada 2004 dan serangan besar-besaran penyakit itu yang berlaku pada 2008 telah menjejaskan teruk industri betik negara.

-- BERNAMA
rujukan lanjut pada web rasmi MOA (klik SINI)

Dunia Dagang Trading syarikat kami yang berladang di Parit Buntar (Perak) juga akan menghentikan tanaman keluarga labu itu (rock melon & timun) untuk setahun.

No comments: