Tuesday, September 8, 2009

Hati Anak Yatim II

Lepas blog rakan satu batch (39 tahun) yang baru kematian suami (anak 4 orang - umur 15, 13, 9 dan 3 - menjadi anak yatim) dan memblog beberapa cerita berkenaan anak yatim SINI dan SINI dan banyak lagi kisah anak yatim di blog ini, mungkin ramai tertanya apa halnya?
.
Ya, saya suka anak yatim dan saya sangat sayang dengan anak yatim. Allah jadikan saya begitu. Dan Allah juga yang telah menjadikan saya seorang anak yatim ketika saya baru berumur 4 tahun.

---

(Hanis, Hanif, Hanaa - baca ini, mungkin panjang sedikit, kalau tak baca hari ni, boleh baca 10 tahun lagi pun tak pe... janji baca...)

---


Abah saya meninggal ketika saya baru berumur 4 tahun (1974), orang kata saya ketika itu masih berebut puting dengan abang saya 6 tahun dan adik perempuan saya (yang bongsu 2 tahun). Emak ketika itu berumur sekitar 35-39 tahun (serupa macam cerita kawan saya yang baru kematian suami itu).
.
Apa perasaan jadi anak yatim?
Ini adalah soalan paling saya benci bila ada orang tanya (orang ramai, guru, masyarakat) dan pada saya ini adalah soalan paling bodoh untuk ditanya kepada anak yatim! Samada pakar motivasi ke atau siswa/siswi U yang masuk kampung, jangan sesekali tanya anak yatim apa perasaan dia jadi anak yatim. Ini soalan bodoh dan tidak memahami hati anak yatim!
.
Pun begitu, saya bersyukur pada Allah kerana Allah mengeluarkan/hilangkan ingatan saya ketika hari Abah meninggal dunia. Saya tak ingat apa-apa. Atuk dan Pak-Pak Sedara saya (bila saya dah remaja, mereka ada bertanya samada saya masih ingat atau tidak peristiwa itu). Saya kata tidak. Yang saya ingat ialah saya rasa gembira pada hari itu kerana saya melihat gerobok baru (almari) --- saya ingat almari, tapi dah sekolah baru tahu itu keranda untuk abah. Cuma "gerobok" yang diusung masuk ke rumah sahaja yang saya ingat --- lain-lain tidak ingat.
.
Mengikut cerita Atuk dan Pak-Pak Sedara saya --- sebenarnya, sayalah yang paling kuat menangis dan melalak memanggil Abah hingga terpaksa didukung emak / orang ramai / orang kampung untuk ditenangkan. Tapi, Allah keluarkan memori sedih itu dari ingatan saya.
.
Emak tidak bekerja waktu Abah meninggal dunia. Kakak saya yang paling sulung ketika itu Tingkatan 4 (kalau tak silap) @ Tingkatan 5, mungkin. Pada suatu hari, ketika saya sudah mulai pandai membaca (Darjah 1 atau Darjah 2) saya terbaca buku catatan kakak saya (macam diary - buku tebal hardcover). Saya lupa adakah buku itu kepunyaan kakak saya yang sulung atau yang kedua. (maaf kak, saya terbaca! tak sengaja...). Beza umur mereka berdua cuma 1 tahun. Catatan buku itu ceritakan peristiwa sedih kematian Abah dan susulan bulan-bulan selepas itu. Memang mereka sedih, sangat sedih dan sayu melihat emak. Hingga mereka bercadang untuk berhenti sekolah menjaga dan membantu emak serta membantu adik-adik yang kecil. Bayangkan umur mereka baru sekitar 15-17 tahun. Emak mintak mereka terus sekolah kerana mereka akan jalani peperiksaan (LCE atau MCE).
.
Allah takdirkan kita jadi anak yatim.
Kalau kita tak jadi anak yatim, kita tak cukup tahu perasaan anak yatim. Ketika kecil, saya irihati melihat mereka yang ada bapa --- hingga saya tertanya kenapa bukan ayah mereka yang mati dahulu? Tapi itu perasaan sementara, kerana selain daripada emak, saya disayangi oleh Atuk dan Pak-Pak Sedara saya yang ramai (satu kampung) terutama Pak Cik saya. Pak Cik suka ke sekolah saya terutama bila hari report card kerana dia suka saya selalu mendapat No. 1. (saya pernah blog sajak khas untuk Atuk SINI)
.
Lepas saya berkahwin dan dapat anak, saya berdoa agar anak-anak saya tidak menjadi anak yatim ketika umur mereka sekitar 4 tahun, tetapi beberapa tahun kebelakangan ini, saya rasa sebenarnya adalah lebih pahit lagi jika bapa mereka meninggal ketika mereka telah mulai remaja (berdasarkan kesan psikologi kakak-kakak & abang-abang saya berbanding saya)
.
Kepada anak-anak yatim yang membaca blog ini.
Anda semua anak yang istimewa dan memang Allah jadikan anda wujud dalam masyarakat, supaya masyarakat hargai kalian. Allah juga mahu hukumNya terlaksana ke atas mereka yang memakan harta anak yatim. Allah biarkan kita sebagai anak yatim hadir dalam kehidupan masyarakat kerana Allah ingin melihat masyarakat itu membela kita.
Ketika saya di sekolah rendah --- dua orang yang paling saya ingat kerap menjemput anak yatim makan di rumah mereka ialah Pegawai Daerah Muar (DO) masa itu dan juga mantan Menteri Besar Johor (Arwah Tan Sri Othman Saat - rumahnya di sebelah kampung saya). Kerapnya mereka membuat jamuan makan untuk anak yatim sehingga saya menjadi malas untuk dibawa pergi ke rumah mereka.
Pesanan kepada Anak Yatim.
Pandanglah ke hadapan, jangan sesali kehidupan tanpa ibu dan ayah. Semuanya telah menjadi takdir Allah. Ambillah ayat Al-Quran ini sebagai semangat untuk hidup bahawa Allah bersama golongan anak yatim.
….. kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, segala malaikat, segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermakan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang miskin, orang yang musafir, orang yang meminta-minta. (Al-Baqarah 177)

Dalam satu riwayat, di padang mahsyar nanti umat Nabi s.a.w akan dibahagi kepada 12 kumpulan, satu daripadanya ialah (kumpulan ke-9) --- Mereka diiring dengan wajah hitam, mata biru dan perut penuh dengan api, maka terdengarlah suara Yang Maha Pemurah: "Mereka adalah orang yang makan harta anak yatim."

Allah Ta’ala juga berfirman, “Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik (bermanfaat).”

Dalam firman yang lain, Allah Ta’ala menyatakan, “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala.”

Nabi s.a.w bersabda, ”Jauhilah oleh kalian tujuh perkara yang membinasakan!”. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah itu?” Beliau menjawab, “Menyekutukan Allah, berbuat sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah, kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dari medan perang, dan menuduh (zina) wanita mukminah yang baik-baik.”

.
Kepada Masyarakat
Bantulah anak yatim samada dari segi wang ringgit mahupun kasih sayang, lebih-lebih di bulan Ramadhan yang barakah ini. Kalau boleh (berduit) cari anak yatim, jadikan anak angkat ataupun sponsor pembelajaran/asuh mereka menjadi orang yang bertaqwa. Kalau tidak berduit, keraplah melawat/bergaul/bercerita/mengajar mereka di rumah anak yatim. Ingat Hadis Nabi s.a.w yang sangat menganjurkan mengasuh anak-anak yatim. Ini disabda Baginda yang menjanjikan hidup berdampingan bersama Baginda di Syurga bagi orang yang mengasihi anak yatim. Sabda Nabi, “Aku dan pengasuh anak yatim di Syurga seperti ini.” Baginda mengatakannya sambil menunjukkan kedua jari Baginda, jari telunjuk dan jari tengah.
---
(Kepada Hanis, Hanif, Hanaa --- kasihkan anak-anak yatim sebagaimana Abah telah dikasihi ramai orang sewaktu kecil dahulu. Layan mereka dengan santun/mesra dan berkawanlah dengan mereka)

9 comments:

Anonymous said...

terima kasih En. Tajudin kerana menulis ini. ianya benar-benar menyentuh hati saya.

miebasir said...

orang yang melihat biasanya tak merasai...

amerbourdon said...

marilah sama2 kite bantu orang miskin..rm1 itu lebey baik dari tiada..

Anonymous said...

i cried reading this. you shared something worth reading. i pray for you, family and all anak yatim!

tajudin said...

Anon 8.08 - terimakasih, menulis dengan hati, begitu la...

Miebasir - harap mu sihat sejahtera. orang yang tak dapat melihat selalunya lebih tajam penglihatannya, tak begitu?

Amerbourdon - satu usaha yang baik, gerakkan...

Anon 1.58 - thank you. AMIN.

ima said...

ima jz bru baca satu paragraph tp terus rasa...something..
unreveal story now being pubish..
make me miss my home..
waa~

aaapit said...

Sayu..saya doakan yang terbaik buat cikudin dan keluarga..alfatihah buat yang telah pergi..

tajudin said...

ima - raya nanti boleh balik kampung ok

tajudin said...

aaapit - timekasih. sayangi orang tua (habis-habisan) selagi masih ada...