Monday, April 20, 2009

Al-Fatihah & Takziah

Takziah untuk seluruh keluarga Pak Din (bekas Tok Siak Masjid Abu Bakar AsSiddiq, SS19) kerana pulangnya kerahmatullah anak sulungnya, Allahyarhamah Jannah siang tadi. Allahyarhamah Jannah meninggal dunia kerana komplikasi/masalah buah pinggang.
.
Al-Fatihah untuk Allahyarhamah Jannah. Moga Allah s.w.t. tempatkan Allahyarhamah dalam golongan para solehah dan dalam redha & rahmatNya.
.
Sebagai rekod catatan, Allahyarhamah baru berusia 39 tahun (sebaya & seumur dengan tuanpunya blog ini <<<--- a very strong reminder to yours truly).

=*=*=
(Update 10.18pm. 20/4/09)
...dan Maghrib tadi, sebelum memulakan Kuliah Al-Quran/Tajwid/Taranum, Imam II - Ustaz Wan Adam sempat minta jamaah yang hadir menghayati lagu nasyid yang dinyanyikannya (memang sedap suara Ustaz, tanpa muzik) - lagu Menanti Di Alam Barzakh (lagu yang terilham dipetik dari Al-Quran & Hadith) dan Ustaz berpesan bahawa kita akan terjaga semula di alam kubur sejurus hanya beberapa langkah sahaja orang yang datang meninggalkan kubur kita. Hayati...

Menanti Di Alam Barzakh
Ku merintih, aku menangis,

Ku meratap, aku mengharap,
Ku meminta dihidupkan semula,
Agar dapat kembali ke dunia nyata

Perjalanan rohku,
Melengkapi sebuah kembara,
Singgah di rahim bonda,
Sebelum menjejak ke dunia,
Menanti di barzakh,
Sebelum berangkat ke mahsyar,
Diperhitung amalan,
Penentu syurga atau sebaliknya

Tanah yang basah berwarna merah,
Semerah mawar dan juga rindu,
Tujuh langkah pun baru berlalu,
Seusai talkin bernada syahdu,
Tenang dan damai di pusaraku,
Nisan batu menjadi tugu,
Namun tak siapa pun tahu resah penantianku

Terbangkitnya aku dari sebuah kematian,
Seakan ku dengari,
Tangis mereka yang ku tinggalkan,
Kehidupan disini bukan suatu khayalan,
Tetapi ia sebenar kejadian

Kembali oh kembali,
Kembalilah kedalam diri,
Sendirian sendiri,
Sendiri bertemankan sepi,
Hanya kain putih yang membaluti tubuhku,
Terbujur dan kaku,
Jasad didalam keranda kayu,

Ajal yang datang dibuka pintu,
Tiada siapa yang memberi tahu,
Tiada siapa pun dapat hindari,
Tiada siapa yang terkecuali,
Lemah jemari nafas terhenti,
Tidak tergambar sakitnya mati,
Cukup sekali tak sanggup untuk ku mengulangi

Jantung berdegup kencang,
Menantikan malaikat datang,
Menggigil ketakutan gelap pekat dipandangan,
Selama ini diceritakan,
Kini aku merasakan,
Di alam barzakh jasad dikebumikan

Ku merintih, aku menangis
Ku meratap, aku mengharap
Ku meminta dihidupkan semula
Agar dapat kembali ke dunia nyata


Lagu asalnya boleh didengar di SINI

1 comment:

yensetapak said...

takziah kpd pak din/keluarga. bykkan bersabar