Monday, April 27, 2009

(ringkasan) UCAPTAMA

Teks Ucaptama Yang Dipertua PIBG

Sekolah Integrasi Masjid Darul Ehsan

(..nama saya..)

“Merenungi Semangat Keibubapaan Ibubapa Kita Dalam Mendidik Keluarga”


Sempena Seminar Keibubapaan PIBG SIMDE 2009

-Menjadi Ibubapa Genius - Ke Arah Keluarga Bahagia-

26 April 2009 / 1 JamadilAwal 1430H

8.30pagi-12.30tengahari

Dewan SIMDE, Subang Jaya

Terimakasih Pengerusi Majlis

Bismillah….

...

...

...

ﻪﺘﺎﻜﺮﺒﻮﷲﺍﺔﻤﺤﺭﻮﻡﻜﻴﻠﻋﻢﻼﺴﻠﺍ

Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad s.a.w., seluruh kaum keluarga Baginda, para sahabat, pengikut sahabat, para tabi’, para syuhada dan mereka yang menegak dan meninggikan syiar Islam ke muka bumi ini sehingga dapat kita semua merasai nikmat Islam dan Iman hari ini, Alhamdullilah.

Syukur kita kehadrat Allah s.w.t. kerana dengan inayah dan taufik-Nya dapat kita semua berkumpul dalam satu majlis, satu program yang tidak kurang pentingnya pagi ini ini untuk sama-sama kita bermuhasabah bagi memperbaiki diri dan keluarga bagi meneruskan kehidupan kita cemerlang di dunia dan cemerlang di akhirat.

...

...

PENDAHULUAN

Saya bagi pihak PIBG SIMDE mengalu-alukan kehadiran semua ibubapa dan guru lebih-lebih lagi kepada pakar motivasi kita yang kita jemput khas untuk program ini iaitu YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd Yusof Hj Othman. Jutaan terimakasih kepada YBhg Prof Dato’ kerana meluangkan masa hadir bersama dalam majlis kita ini yang sebentar lagi akan mengupas, berkongsi ilmu dalam tajuk yang luas – "Menjadi Ibubapa Genius, Ke Arah Keluarga Bahagia". Tajuk ini diluaskan skopnya kerana adalah hasil komunikasi dengan Prof Dato' , maka wujud kesefahaman pandangan iaitu menjadi genius sahaja tidak cukup, bahkan akan rosak/runtuh sesuatu keluarga jika ibubapanya genius tetapi tiada kebahagiaan.

Untuk makluman kita semua, YBhg. Prof. Dato’ adalah seorang Profesor Fizik di Fakulti Sains dan Teknologi, UKM. Beliau juga merupakan Felo Kehormat IKIM, Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang 2008 dan penerima Anugerah Maal Hijrah peringkat kebangsaan, juga pakar dalam bidang Fizik, terma, tenaga suria dan fotovoltan. Beliau banyak terlibat dalam penyelidikan dalam dan luar Negara untuk World Renewable Energy. Telah menulis lebih 20 buah buku buku dan jurnal yang berkaitan fizik dan tenaga suria. Beliau juga adalah kumpulan pakar dalam Institut Integriti Malaysia.

...

...

YBhg Prof. Dato’, ibu-ibu, bapa-bapa dan para guru sekalian,

Program atau Seminar Keibubapaan atau Parenting ini adalah sesuatu yang tidak asing bagi kita dewasa ini dan tidak juga sesuatu yang baru bagi kita semua. Mungkin ada antara kita yang kerap mengikuti kursus seperti ini dan telah mendapat pelbagai petua / tips yang baik untuk diamalkan, kalau tidak seluruhnya, telah diamalkan secara sedikit-sedikit. Tindakan langkah-langkah dalam parenting ini berubah-ubah mengikut keadaan zaman, tetapi umumnya bolehlah kita katakan pada konsepnya ia masih mengekalkan ciri-ciri sifat matlamat keibubapaan yang sama. Maka program kita hari ini untuk membolehkan kita menimba seberapa banyak lagi ilmu yang kita sendiri tidak tahu ataupun terlepas pandang.

Sebenarnya program seperti ini perlu kita jadikan wadah untuk lebih memahami peranan kita sebagai ibubapa, sebagai keluarga dan sebagai entiti dalam komuniti/masyarakat, agar kita mampu mengambil seberapa banyak pengajaran bagi membawa perubahan ke arah kebaikan. Kita ada teori, kita ada praktikal. Ada yang hanya idea, ada yang realiti. Ada juga teori dan idea yang kosong yang tidak boleh dijelmakan dalam masyarakat kita khasnya. Mungkin ini akan dikupas oleh YBhg. Prof Dato’ nanti.

...

...

IBUBAPA KITA DAHULU

Dalam kita membicara KEIBUBAPAAN, kita tidak dapat lari daripada mengingati ibubapa kita. Kita tidak dapat lari daripada melihat dan merenungi sifat keibubapaan ibubapa kita sendiri.

Maka tidaklah salah rasanya jika hari ini kita berhenti sejenak dan menoleh ke masa lampau, kita lihat ibubapa kita, atau yang hidup dipelihara dan dibesarkan oleh datuk nenek kita -- mereka ini tidak pun mengikuti kursus atau seminar atau program keibubapaan, tidak ada kursus pra-perkahwinan yang orang sekarang semua kena sertai. Tetapi keupayaan mereka mendidik, membesarkan kita, memainkan peranan ibubapa dan menjadikan kita seorang manusia sepertimana kita ini sekarang – memang tidak boleh disangkal bahkan jika kita teliti dan ingati kemahiran keibubapaan ibubapa kita dahulu, memang sangat menakjubkan.

Dari mana mereka mendapat ilmu-ilmu yang baik ini? Dan yang penting - apakah motivasi, apakah daya pendrong mereka mengamalkan ilmu-ilmu yang mereka terima itu?

Memberi perbandingan ibubapa dahulu dengan kita sebagai ibubapa sekarang ini, kita boleh melihat walaupun mereka hidup dalam keadaan serba-serbi kurang, terhad dari segi informasi/maklumat, terhad dari segi wang ringgit/kewangan, terhad dari segi ilmu pengetahuan, yang buta huruf pun ada, dengan suasana kehidupan yang kurang aman, kurang tenteram, atau ringkasnya, mereka ini serba kurang dan terhad. Tetapi, mereka masih berkeupayaan mendidik/memelihara kita, terhindar kita dari sifat negatif dan sifat yang memporak peranda hidup. Kita kena tanya diri kita -- kenapa mereka ibubapa kita boleh menjadi ibubapa yang cemerlang? Nak kata mereka pernah menghadiri program parenting – jauh sekali.

...

...

ISU POKOK & PERBEZAAN

Mungkin ada orang kata – dulu lain, sekarang lain. Apakah benar disebabkan zaman berubah? Atau adakah disebabkan ilmu atau harta mulai kurang barakah? Adakah disebabkan sistem pendidikan atau struktur kehidupan masyarakat yang tidak berteraskan agama? Adakah disebabkan kita terlalu materialistik? Atau Ibubapa sekarang terlalu sibuk? Adakah kerana masalah isu sosial masyarakat yang makin menjadi-jadi dan tidak mampu kita bendung lagi, adakah kerana isu keruntuhan moral dan pelbagai masalah masyarakat lagi?

Saya pasti adakah Prof. Dato’ sebentar nanti akan memperlihat perbandingan amalan baik ibubapa dahulu yang kita tidak perasan, yang telah menjadi sebahagian teras keluarga bahagia.

...

...

AMALAN IBUBAPA KITA

Yang kita boleh renung dan lihat, mungkin juga kepada sahabat ibubapa guru yang lain, yang berkongsi pengalaman yang sama, memang banyak amalan yang kita telah dan boleh warisi serta dipelajari/amalkan daripada ibubapa. Antaranya:-

1. Kalau dahulu anak-anak lelaki mesti khatam Al-Quran sebelum berkhatan (bersunat), yang perempuan mesti khatam sebelum datang period (secara puratanya sebelum masuk Tingkatan 1). Kalau dah berkhatan tapi belum khatam Al-Quran – kami semua jadi malu. Sampai Tok Guru yang ajar Al-Quran boleh melawak – kau baca cepat sikit, nanti tak habis khatam Quran, tak boleh sunat…

2. Ibubapa dahulu mengajar anak mereka ringan tulang, rajin dan boleh berdikari. Umur 7 tahun dah membantu ibu dan bapa – membasuh, angkat kain, ke kebun, jaga kambing lembu, basuh kasut. Cari kayu api, tolong angkat getah, dan sebagainya

3. Ibubapa kita dahulu secara tidak langsung telah mengamalkan apa yang disuruh Allah, seperti firmannya Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara. (Al-Hujarat:10). Dan Sabda Nabi s.a.w.: Tidak sempurna iman sesorang itu selagi dia tidak mengasihani saudaranya sepertimana dia mengasihani dirinya sendiri. (Riwayat Al-Bukhari)

Sebab itu kita boleh nampak bahawa peranan dan tugas Ibubapa kita dahulu saling dibantu - saling disokong oleh kumpulan/kelompok ibubapa lain dalam mendidik anak-anak. Kalau kita buat salah, yang kononnya ibubapa kita tak nampak, tetapi ibubapa kita ada mata-mata lain -- ada jiran nampak, atuk sedara nampak, orang kampung sebelah nampak. Semuanya tegur menegur. Kalau belum makan akan dipanggil ke rumah jamah makanan, kalau dah Maghrib, masih berada di tembok atau di padang - akan dijerkah Pak Ngah, Pak Su, Tok Bilal atau entah sesiapa-siapa lagi. Secara ringkasnya, seluruh orang tua di persekitaran hiudp kita telah berperanan sebagai ibubapa kita juga. Mereka akan tegur kalau kita buat salah.

4. Dalam bidang didikan, Ibubapa kita juga telah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada guru-guru, Ustaz-ustaz dan Ustazah-ustazah. Dan mereka pula (Guru, ustaz, Ustazah) mendidik kita seperti anak-anak mereka sendiri. Mereka sangat komited, sangat dedikasi, ikhlas dalam menyampaikan ilmu pengetahuan. Apa yang dilaporkan oleh guru kepada ibubapa kita, akan pasti/segera diambil tindakan oleh ibubapa kita. Kalau laporannya keras, maka keraslah anak itu diajar oleh bapa.

5. Ibubapa kita dahulu mengutamakan anak-anak lelaki agar membudayakan masjid. Yang kecil akan dipaksa turut serta bapa ke masjid, belum tahu sembahyang pun diajak juga, duduk diam-diam di belakang. Abang-abang yang sudah dewasa akan ditegur – Kau tak ke masjid ke? Dah masuk hantu? Yang dewasa sesama dewasa, juga sapa menyapa – lama tak nampak batang hidung kau kat masjid?

...

...

Slogan Jom ke masjid itu telah lama diserap dalam hati menjadi budaya hidup oleh ibubapa kita. Begitu juga budaya gotong-royong, hormat orang tua dan sebagainya. Di seluruh masjid di Selangor kini, kita sedang bergerak ke arah apa yang dipanggil Memasyarakatkan Masjid”. Masjid sebenarnya adalah satu tempat untuk menilai indeks kerukunan dan kesempurnaan sesebuah masyarakat setempat. Kalau makmur dan meriah masjidnya, maknanya, masyarakat di situ hidup rukun damai dan makmur, dan begitu jugalah sebaliknya. Ada sesetengah masjid (bukan surau) yang jamaah Maghribnya lebih kurang 10 orang sahaja, bahkan surau di kampung pun lebih ramai ahli jamaahnya.

6. Ibubapa kita telah menurunkan ilmu yang sangat baik kepada kita. Mereka membina keyakinan diri anak-anak mereka semenjak kecil, mereka didik mendisiplin kita dengan ilmu agama daripada kecil. Apakah nilai matlamat yang ibubapa kita telah diwariskan kepada kita (yang mungkin kita terlepas pandang)?

Yang jelasnya (i) mereka telah mendidik kita menjadi insan yang terbaik dan (ii) kita menjadi sentiasa rapat dengan mereka hatta walaupun mereka telah tiada di dunia ini.

...

...

SEMANGAT JATIDIRI IBUBAPA KITA

Dengan kehidupan yang sederhana, ditambah dengan keupayaan ibubapa kita membina sikap kita secara yang tidak kita sendiri sedari, maka kita mendapat ilmu dari mereka yang ikhlas dalam masyarakat, dari guru-guru dan orang terdekat di sekeliling kita

Kita semua adalah pemimpin – serupa dengan Datuk Nenek kita atau Ibubapa kita dan kini, giliran kita sendiri. Ibubapa adalah pemimpin pada keluarga. Maka, bila kita melihat sejenak bagaimana ibubapa kita memimpin kita, barulah kita tersedar bahawa betullah kata-kata bijak pandai :-

“Pemimpin (sebenarnya) tidak lahir dari dewan-dewan kuliah atau di bilik tutorial, tetapi pemimpin itu lahir daripada kemelut atau permasalahan umat/masyarakatnya.”

...

...

...

HASRAT PROGRAM INI

Tuan / Puan hadirin sekalian,

Alhamdulillah, kita telah sedar perkara ini. Justru itu, adalah menjadi hasrat kita semua, program parenting atau program keibubapaan seperti yang kita hadiri hari ini mampu membawa kita menjadi “role model” kepada sekurang-kurangnya anak-anak kita.

Tugas dan peranan ibubapa mutakhir ini kian mencabar. Ciri-ciri negatif untuk kita membina keluarga dan anak-anak semakin tidak terkawal. Apa yang menyedihkan, perkara yang negatif pun sudah tidak dipedulikan seakan-akan masyarakat sudah boleh menerimanya. Ketagihan dadah, rasuah, sumbang mahram, zina/pelacuran/seks bebas, judi dan sebagainya sudah semakin berleluasa.

...

...

Prof Dato’, seingat saya, UKM sendiri ada menjalankan kajian di sekolah-sekolah di Selangor ini beberapa tahun lepas. Hasil kajian sangat menggempar masyarakat. Ada yang seolah-olah cuba menidakkan / menafikan hasil kajian itu. Pada saya apa yang penting ialah kita menilai kembali peranan kita. Janganlah kita mengatakan masyarakat kita tiada masalah langsung, padahal masalah itu kita boleh lihat di sekeliling kita. Tapi kita telah gagal berfungsi memainkan peranan maka masyarakat itulah tempat dilihat kesannya.

...

...

...

PENUTUP

YBhg. Prof. Dato’, ibu-ibu, bapa-bapa, guru-guru dan hadirin sekalian,

Sama-sama kita hadir hari ini untuk mendengar pembentangan daripada penceramah khas jemputan kita, seorang tokoh/pakar/ilmuwan Islam yang sudi datang berkongsi pengalaman keibubapaan dengan kita semua. Moga ianya menjadi titik tolak untuk kita terus memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat kita.

Saya suka menyebut kata-kata Sayyid Qutb bagi mengingati diri saya dan berkongsi dengan para hadirin sekalian. Sayyid Qutb pernah berkata –

Andaikata hidup kita hanya untuk kepentingan diri sahaja, maka kehidupan kita bermula dari kelahiran kita di mukabumi ini dan berakhir setelah kita mati. (Tetapi) andaikat kita hidup untuk masyarakat (dan untuk orang lain), maka kehidupan kita bermula (sebenarnya) dari kehidupan manusia di mukabumi dan berakhir dengan berakhirnya kehidupan (seluruh manusia) di mukabumi ini (kiamat).

...

...

Marilah kita jadikan ilmu yang kita garap hari ini sebagai lembaran baru membina kemuafakatan kita sesama ibubapa membina satu keluarga bahagia cemerlang di dunia dan akhirat.

...

...

Sebelum saya akhiri ucapan saya ini, sekali lagi bagi pihak PIBG saya berterimakasih kepada YBhg. Prof Dato’ Dr Mohd Yusof Hj Othman kerana sudi hadir mengepalai sesi program keibubapaan kita hari ini. Terimakasih juga kepada pihak sekolah yang sentiasa memberi kerjasama baik dan pandangan positif kepada PIBG, kepada semua AJK PIBG dan kepada semua ibubapa/guru yang hadir pada majlis kita hari ini.

...

Saya mohon maaf jika terdapat kekurangan dalam ucapan saya dan dalam penganjuran program ini.

...

Sekian. Terimakasih.

.

.

=*=*=

(Nota: sesi pembentangan 3 jam tajuk program (Menjadi Ibubapa Genius - Ke arah Keluarga Bahagia) oleh YBhg Dato' Dr. Mohd Yusof Hj Othman sangat jelas dan terperinci beserta contoh-contoh menghurai permasalahan institusi keluarga di zaman serba maju dan fakta-fakta terkini kes cerai/anak luar nikah di Malaysia/dunia, menjelaskan fungsi dan rukun kekeluargaan yang semakin pupus serta tujuan kekeluargaan. yang tidak difahami oleh ramai orang serta kelemahan mempraktikkan ilmu Islam oleh orang Islam sendiri hatta yang mudah/simple.)

4 comments:

Anonymous said...

bro, feel proud dgn bro. i read also yr speech text masa pelancaran our tabung dana alumni SMS di web alumni. why x post text tu dlm blog.

*yr junior*

yensetapak said...

jauh sgt nak compare mak pak dulu dgn mak pak zaman ni.yg aku boleh nampak & share mak pak dulu cakap sikit je anak2 mencicit buat. budak sekarang, mak pak ckp berpuluh kali, dia org buat dek je. siap layan tv lagi..........

tajudin said...

anon, thanks. kalau teks dah ada kat web alumni, boleh baca kat situ, dah kira cukup la kot...

tajudin said...

yen, setuju 100%!!!