Monday, December 29, 2008

Salam MAAL HIJRAH 1430H - membelek diri

Hari ini Isnin, 1 Muharam 1430H. Kita sambut Maal Hijrah dengan ketenangan. Tenang dan janganlah terlupa untuk hargai nilai nikmat Iman & Islam yang Allah kurniakan kepada kita.
.
Beberapa minggu kebelakangan ini, Ustaz-Ustaz yang memberi Kuliah di Masjid SS19 banyak membawa cerita kisah perjuangan/sifat/amalan Nabi bagi mengingatkan kita tentang Maal Hijrah.
.
Saya tertarik/berkongsi kuliah Ustaz Kamal Ashari. Ustaz bertanya para hadirin kuliahnya -- Kalau dijadikan tuan/puan hidup zaman Nabi, adakah tuan/puan akan menjadi pengikut Nabi yang setia, mahu tergolong dalam para sahabat dan berjuang habis-habisan untuk Islam?
.
Atau adakah tuan/puan akan menjadi golongan kafirun/musyrikun/munafik? Letak diri/perangai/sifat tuan/puan sekarang jika tuan/puan hidup zaman Nabi.
.
Bila para hadirin kata, Insya-Allah akan berjuang bersama Nabi, segera sahaja Ustaz tersenyum, jamaah yang hadir pun "tersenyum", senyum tak habis.
.
Ustaz kata -- jangan cakap tuan. Mari kita tengok muhasabah diri. Zaman Nabi, bila Nabi ajak orang Islam yang cuma sedikit untuk berjihad/berperang, semua menyahut hatta kaum perempuan pun ingin turut serta. La ni dah tak de perang, tapi Nabi suruh kita penuhkan masjid mendengar kuliah agama -- berapa ramai yang datang? Berapa ramai yang datang masjid untuk belajar/dengar kuliah/solat berjamaah? Masjid aircond, duduk paling lama pun 2 jam (kalau berperang sampai 2 minggu - 2 bulan), nyaman, badan tak sakit-sakit pun, bukan naik unta/jalan kaki -- naik kereta! Tapi rumah Allah kosong, lebih banyak kipas dari orang yang datang solat jamaah.
.
(Hadirin dah mula tersengih)
.
Ustaz beritahu lagi - diriwayatkan, jika Nabi berludah, sahabat Nabi akan segera berebut-rebut menadah air liur/ludah Nabi (ambil barakah) sapu di muka dan tangan. Ustaz tanya - kalau tuan/puan ada di depan Nabi masa tu, tuan/puan buat atau tidak?
.
La ni Nabi dah tak de tapi Nabi suruh kita ikut sunnah. Dah tak de nak sapu tangan, jilat jari sendiri selepas makan (ambik barakah) -- sendiri punya jari, ada saper-saper buat?
.
Ustaz cerita -- para sahabat Nabi bergolok bergadai infak hartabenda kepada Islam seperti Saidina Abu Bakar r.a., Umar dan Abd. Rahman Auf, kerana mereka yakin tentang balasan mereka yang bersedekah ke jalan Allah. Semua tahu bagaimana Saidina Umar bersedekah separuh dari hartanya ke jalan Allah. Dan semua maklum bagaimana Saidina Abu Bakar menginfaqkan seluruh hartanya untuk Islam -- yang tinggal kepadanya dan keluarga hanyalah Allah dan Rasul.
.
Kita? Selagi rumah boleh diisi maka bertambah penuhlah rumah kita.
.
Tuan/Puan muhasabahlah sempena Maal Hijrah ini, kalau tidak, takkan Nabi bersabda jika ditimbang IMAN seluruh umat Islam akhir zaman dengan IMAN Abu Bakar, nescaya berat lagi timbangan IMAN Abu Bakar.
.
Ustaz minta semua perbaikilah akhlak/perangai selaras dengan akhlak Islam yang mulia, kerana berakhlak dengan akhlak Islam juga merupakan dakwah kepada orang lain termasuk kepada jiran dan bukan Islam. Ustaz ceritakan bagaimana selepas Nabi wafat, Saidina Umar r.a. bertanya isteri Nabi, Saidatina Aisyah r.a -- apakah amalan Nabi yang patut dia tahu untuk diteruskan. Saidatina Aisyah maklumkan pada Saidina Umar bahawa setiap pagi slepas habis kerja di rumah, Nabi akan ke hujung pasar untuk memberi makan/menyuap seorang Yahudi yang buta (Yahudi buta itu tidak tahu yang menyuap makanan itu adalah Nabi). Walaupun setiap kali Nabi datang, Yahudi buta itu seringkali mencaci/memaki Nabi Muhammad. Nabi teruskan amalan itu sehingga baginda wafat.
.
Bila Saidina Umar tahu hal itu, beliau terus ke hujung pasar mencari Yahudi buta dan berjumpanya lalu terus menyuapkan makanan. Merasai bentuk makanan/cara suapan yang berlainan, Yahudi buta itu perasan bahawa orang yang datang ini bukan orang yang selalu datang. Yahudi buta bertanya -- siapakah ini. Saidina Umar menjawab dan terangkan keadaan sebenarnya bahawa beliau adalah sahabat kepada orang yang selalu menyuap makan kepadanya sebelum ini, tetapi orang itu telah meninggal dunia -- dan akhirnya Saidina Umar terangkan bahawa orang yang selalu menyuapkannya makanan itu ialah Rasul Allah Nabi Muhammad s.a.w. menyebabkan Yahudi buta itu sangat terharu, walaupun dia selalu memaki/mencaci Nabi. Akhirnya mengetahui akhlak Nabi yang terpuji itu, Yahudi buta itu memeluk Islam.
.
(sempena Hijrah 1430 ini, sama-sama kita teliti kata-kata Ustaz itu, moga ada manfaat untuk kita dunia/akhirat)

No comments: